PERLEMBAGAAN
MAJLIS
PERHUBUNGAN PENOLONG KANAN TINGKATAN ENAM SELANGOR
(MPPKT6 SELANGOR)
Fasal 1 : NAMA
Majlis ini
dinamakan “Majlis Perhubungan Penolong
Kanan Tingkatan Enam Negeri Selangor”. Nama ringkasnya ialah MPPKT6
Selangor.
Fasal 2 : ALAMAT DAN TEMPAT URUSAN
Sektor Pengurusan Sekolah,
Jabatan Pelajaran Selangor,
Jalan Jambu Bol 4/3E,
40000 Shah
Alam , Selangor.
Fasal 3 : TAFSIRAN
3.1 Penolong Kanan Tingkatan Enam ialah
pegawai yang berkhidmat di bawah Skim Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah
dengan menyandang jawatan sebagai Penolong Kanan Tingkatan Enam di sekolah
pusat Tingkatan Enam, Kementerian Pelajaran Malaysia.
3.2 Jawatankuasa bermaksud jawatankuasa
pentadbir MPPKT6
3.3 Dana ialah kumpulan wang MPPKT6
3.4 Luput kelayakan sebagai ahli biasa MPPKT6
bermaksud tidak lagi menjadi Penolong Kanan sekolah Tingkatan Enam.
3.5 Bekas ahli bermaksud Penolong Kanan
Tingkatan Enam yang telah bersara wajib.
Fasal 4 : KETERANGAN LOGO
·
Mata pena melambangkan percambahan
idea bernas dalam kalangan warga pengurusan tingkatan enam.
·
Warna merah pada belahan mata pena
melambangkan keberanian dan kecekalan warga pengurusan tingkatan enam dalam
menghadapi pelbagai cabaran terhadap transformasi pendidikan.
·
Warna biru pada belahan mata pena melambangkan
perpaduan dalam kalangan warga pengurusan tingkatan enam.
·
Nombor 6 di bahagian tengah belahan
mata pena melambangkan organisasi pengurusan di peringkat tingkatan enam yang
lebih bersifat terbuka dalam menerima pelbagai aliran pemikiran.
·
Warna kuning yang terdapat di bahagian
tengah mata pena dan lembaran halaman buku melambangkan kewibawaan dan
autoriti.
·
Lembaran enam
halaman buku
melambangkan keterbukaan minda dan kesediaan warga pengurusan tingkatan enam
untuk menjana dan menyebarluaskan ilmu.
·
“Kebijaksanaan
Teras Kepimpinan”
ialah cogan kata MPPKT6 yang memayungi
prinsip asas dan rangka tindakan warga pengurusan tingkatan enam.
Fasal 5 : TUJUAN /
OBJEKTIF MPPKT6
5.1 Memajukan matlamat pendidikan tingkatan
enam di Selangor khasnya dan di Malaysia
amnya.
5.2 Menjaga
dan membaiki status serta memperluas kepentingan profesional yang sah bagi
guru-guru akademik tingkatan enam.
5.3 Membolehkan
Penolong Kanan tingkatan enam membantu satu sama lain dalam hubungan mereka
dengan Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran
Malaysia.
5.4 Merumuskan
dan menghebahkan polisi-polisi yang telah dipersetujui dalam isu pendidikan
tingkatan enam.
5.5 Mendapatkan
dan menyebarluaskan maklumat mengenai semua perkara yang berkaitan dengan
pendidikan, pengajaran dan peperiksaan, dan organisasi pendidikan dalam
kalangan ahli persatuan dan orang awam.
5.6 Menjadi
wadah bertukar-tukar fikiran dalam kalangan ahli.
5.7 Mengadakan, mengambil bahagian dan menghantar wakil dalam mesyuarat
atau persidangan mengenai pendidikan.
5.8 Bekerjasama
dengan pelbagai organisasi sebagai satu jaringan dan jalinan untuk memapankan
pengurusan.
5.9 Menimbangkan
semua kepentingan yang menyentuh aktiviti pendidikan di tingkatan enam.
5.10 Menjaga
kebajikan penolong kanan tingkatan enam dan guru akademik tingkatan enam.
5.11 Menyediakan bahan-bahan berbentuk akademik dan bukan akademik
yang relevan dan berguna bagi menyokong tujuan persatuan ini.
5.12 Mengambil tindakan yang sah terhadap kemungkinan yang terjadi
atau berguna untuk mencapai tujuan-tujuan yang tersebut di atas.
Fasal 6 : PENUBUHAN
6.1 Penubuhan MPPKT6 Selangor adalah
tertakluk kepada kuasa-kuasa dan peruntukan Jabatan Pelajaran Selangor dan
Kementerian Pelajaran Malaysia.
6.2 Penubuhan – MPPKT6 di daerah-daerah juga
adalah tertakluk kepada kuasa-kuasa dan peruntukan Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Fasal 7 : PENAUNG DAN PENASIHAT
7.1 Penaung:
Penaung MPPKT6 Selangor
ialah Pengarah Pelajaran Selangor.
7.2 Penasihat :
MPPKT6 Selangor ialah Ketua Sektor , Sektor
Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Selangor.
Fasal 8 : KEAHLIAN
8.1 Ahli Biasa:
Semua Penolong Kanan Tingkatan Enam
Sekolah Menengah Kerajaan dan Bantuan Kerajaan yang mempunyai Tingkatan Enam di
bawah pentadbiran Kementerian Pelajaran Malaysia adalah layak untuk menjadi
ahli secara automatik.
8.2 Ahli Bersekutu
8.2.1 Penolong Kanan-Penolong Kanan Sekolah
Menengah yang mempunyai Tingkatan Enam di bawah tadbiran Kerajaan negeri
kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang lain adalah layak untuk
menjadi ahli bersekutu.
8.2.2 Setiap orang yang ingin menjadi ahli
bersekutu hendaklah memohon dengan mengisi borang permohonan yang disediakan
oleh Majlis Perhubungan Penolong Kanan Tingkatan Enam Selangor dan mengemukakannya
kepada Setiausaha Kehormat MPPKT6 Selangor.
8.2.3 Ahli Bersekutu boleh mengambil bahagian
dalam aktiviti-aktiviti anjuran MPPKT6 Selangor.
8.2.4 Ahli Bersekutu tidak mempunyai hak mengundi
tetapi boleh dilantik menganggotai Jawatankuasa Kecil.
Fasal 9 : PUNCA KEWANGAN
9.1
Yuran ahli biasa dan ahli bersekutu.
9.2 Sumbangan dan derma ikhlas daripada
pelbagai sumber.
9.3 Aktiviti-aktiviti pengumpulan dana di
semua peringkat yang dipersetujui oleh Jwatankuasa MPPKT6.
Fasal 10 : STRUKTUR MPPKT6
10.1 MPPKT6 adalah terdiri daripada:
10.1.1 Jawatankuasa MPPKT6 Negeri
10.1.2 Jawatankuasa MPPKT6 Daerah/Zon
Fasal 11 : JAWATANKUASA KERJA MPPT6
11.1 Penaung dan Penasihat MPPKT6 Negeri
Penaung
: Pengarah Pelajaran Negeri
Penasihat:
Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan
Pelajaran Negeri.
11.2 MPPKT6 Daerah
Penasihat: Pegawai Pelajaran Daerah
11.3 Jawatankuasa Negeri terdiri daripada:
Seorang
Yang DiPertua
Seorang
Naib Yang DiPertua
Seorang
Setiausaha Kehormat
Seorang
Penolong Setiausaha Kehormat
Seorang
Bendahari Kehormat; dan
10 (Sepuluh)
Ahli Jawatankuasa Biasa yang terdiri daripada Pengerusi-pengerusi Daerah.
2
(Dua) orang Juru Audit Dalaman
11.4 Jawatan Setiausaha Kehormat dan Penolong
Setiausaha Kehormat akan dilantik oleh Yang Di Pertua dengan persetujuan
Jawatankuasa.
11.5 Semua ahli yang berkhidmat sebagai Ahli
Jawatankuasa dan tiap-tiap Ahli Jawatankuasa lain yang menjalankan tugas-tugas
eksekutif hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia.
11.6 Nama untuk pencalonan jawatan-jawatan di
atas hendaklah dicadang, disokong dan dipilih dalam kalangan ahli-ahli yang
hadir dengan cara undian oleh ahli-ahli semasa Mesyuarat Agung. Semua penjawat
jawatan-jawatan di atas akan memegang jawatan tersebut selama dua tahun dan
mereka boleh melantik semula di akhir tahun kedua, jika dipilih semula.
11.7 Tugas Jawatankuasa ialah mengelolakan dan
mengaturkan kerja-kerja Majlis, mengikut Perlembagaan MPPKT6 atau atas arahan
Pengarah Pelajaran Negeri. Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat
sekurang-kurangnya tiga (3) kali setahun.
11.8 Jawatankuasa MPPKT6 Daerah akan dipilih
semasa Mesyuarat Agung MPPKT6 Daerah sepertimana pemilihan yang dijalankan di
peringkat Negeri.
Fasal
12 : TUGAS-TUGAS JAWATANKUASA
KERJA MAJLIS
PERHUBUNGAN PENOLONG KANAN TINGKATAN ENAM.
12.1 Yang Dipertua
12.1.1 Mempengerusikan Mesyuarat Agung dan semua
Mesyuarat Jawatankuasa Kerja.
12.1.2 Menggunakan
kuasa undi pemutus.
12.1.3 Menandatangani
peringatan mesyuarat setelah disahkan.
12.1.4 Menandatangani semua cek bersama-sama dengan
Bendahari Kehormat dan / atau Setiausaha Kehormat.
12.1.5 Melantik tiga (3) atau lebih Jawatankuasa tambahan
mengikut keperluan.
12.2 Naib Yang DiPertua
12.2.1 Membantu
tugas-tugas Yang DiPertua
12.2.2 Memangku
jawatan Yang Dipertua semasa ketiadaannya.
12.3 Setiausaha Kehormat
12.3.1
Bertanggungjawab kepada Yang Dipertua atas semua urusan Pentadbiran MPPKT6 dengan menyimpan rekod-rekod aktiviti, minit
mesyuarat, surat-menyurat, pekeliling dan daftar ahli MPPKT6
12.3.2
Menyediakan dan membentangkan laporan tahunan dalam Mesyuarat Agung MPPKT6
untuk diterima.
12.4 Penolong Setiausaha Kehormat
12.4.1
Membantu kerja-kerja Setiausaha
Kehormat.
12.4.2 Memangku jawatan Setiausaha Kehormat semasa ketiadaannya.
12.5 Bendahari Kehormat
12.5.1
Mengutip dan menerima semua yuran daripada ahli dan mengeluarkan resit.
12.5.2
Mengumpulkan dan merekodkan semua jenis bayaran dan sumbangan serta derma
ikhlas yang diterima.
12.5.3
Menyimpan semua rekod penerimaan dan pembayaran wang MPPKT6
12.5.4
Menyimpan segala wang yang diterima ke dalam bank yang dipersetujui oleh
Jawatankuasa Kerja.
12.5.5 Menyediakan Laporan Kewangan untuk dibentangkan
dan diterima dalam Mesyuarat Jawatankuasa dan Mesyuarat Agung MPPKT6.
12.6 Ahli Jawatankuasa Biasa
12.6.1
Membantu menjalankan tugas-tugas pentadbiran dan aktiviti-aktiviti MPPKT6
Fasal
13 : KEWANGAN MPPKT6
13.1 Semua wang yang dikutip akan menjadi aset MPPKT6
Selangor.
13.2
Semua wang hendaklah disimpan atas
nama MPPKT6 Selangor di bank yang dipersetujui
oleh Jawatankuasa Kerja dan kira-kira wang itu dikelolakan bersama-sama oleh
Yang Dipertua, jika ketiadaannya, oleh Naib Yang Dipertua, Setiausaha Kehormat
dan Bendahari Kehormat.
13.3
Bendahari Kehormat dibenarkan menyimpan
wang tunai dalam tangan tidak lebih daripada RM300.00 (Ringgit Malaysia : Tiga
Ratus Sahaja) pada satu-satu masa.
13.4
Perbelanjaan yang tidak melebihi
RM10,000.00 (Ringgit Malaysia : Sepuluh Ribu Sahaja) boleh diluluskan oleh Yang
Dipertua bersama-sama Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat. Perbelanjaan
yang melebihi RM10,000.00 (Ringgir Malaysia : Sepuluh Ribu Sahaja) perlu
mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Kerja MPPKT6 Selangor dan pengeluaran
cek hendaklah ditandatangani oleh tiga (3) orang AJK, iaitu Yang Dipertua,
Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat. Sekiranya nilai sesuatu cek itu
kurang daripada RM10,000.00 (Ringgit Malaysia : Sepuluh Ribu Sahaja), mana-mana
dua (2) orang AJK berikut; Yang Dipertua, Bendahari Kehormat atau Setiausaha
Kehormat boleh menandatanganinya.
Fasal 14 : JURUAUDIT DALAM
14.1 Dua orang Juruaudit Dalam dipilih semasa
Mesyuarat Agung MPPKT6 Selangor dan
Mesyuarat Agung MPPT6 Daerah.
14.2 Juruaudit dikehendaki memeriksa kira-kira
tahunan MPPKT6 dan membuat laporan atau pengesahan untuk dibentang semasa
Mesyuarat Agung. Juruaudit juga dikehendaki mengaudit kira-kira kewangan MPPKT6
pada bila-bila masa yang diminta oleh Yang Dipertua MPPKT6.
14.3 Juruaudit Dalam dikehendaki membuat laporan audit.
Fasal 15 : PENGAMANAH
15.1 Tiga orang Pengamanah yang berumur lebih
dari 21 tahun hendaklah dilantik semasa Mesyuarat Agung MPPKT6 Selangor dan
Mesyuarat Agung MPPKT6 Daerah dan mereka akan berkhidmat selama yang
dikehendaki oleh MPPKT6. Semua harta takalih yang dipunyai oleh MPPKT6 akan
diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of
Trust).
15.2 Pengamanah tidak boleh menjual, menarik
balik dan harta kepunyaan MPPT6 dengan tidak mendapatkan persetujuan dan kuasa
yang diberikan oleh Mesyuarat Agung.
15.3 Seseorang Pengamanah itu boleh dilucutkan
daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak
siuman, tidak berada dalam negeri atau kerana lain sebab yang mengakibatkan ia
tidak boleh menjalankan tugas atau tanggungjawabnya dengan memuaskan. Jika
berlaku kematian, kekosongan itu dipenuhkan oleh Pengamanah baru yang dilantik
semasa Mesyuarat Agung atau Mesyuarat Kerja dengan secepat mungkin.
Fasal
16 : MESYUARAT AGUNG
16.1 Agenda
Mesyuarat Agung Tahunan adalah seperti berikut :
16.1.1 Ucapan Yang Dipertua
16.1.2 Membentangkan minit Mesyuarat Agung yang lalu
16.1.3 Membincangkan perkara-perkara berbangkit dalam
minit mesyuarat yang lalu
16.1.4 Membentangkan dan menerima laporan tahunan
oleh setiausaha
16.1.5 Membentangkan dan menerima laporan kewangan
oleh bendahari (laporan kewangan yang telah diaudit dan ditutup berakhir 31
Disember tahun sebelumnya)
16.1.6 Membahaskan usul-usul yang telah ditapis
16.1.7 Memilih Ahli Jawatankuasa MPPKT6
Yang
Dipertua (1 Orang)
Naib
Yang Dipertua (1 Orang)
Setiausaha
(1 Orang)
Naib Setiausaha (1 Orang)
Bendahari
(1 Orang)
Ahli
Jawatankuasa (Tidak melebihi 11 orang)
16.1.8 Memilih dua orang juruaudit
16.1.9 Ucapan penangguhan
16.2 Setiausaha Kehormat hendaklah memberikan
notis 14 hari secara bertulis kepada ahli Mesyuarat Agung Tahunan diadakan
untuk pemberitahuan tarikh, masa dan tempat serta mengemukakan cadangan atau
usul.
16.3 Setiausaha Kehormat hendaklah memanggil
mesyuarat jawatankuasa sekurang-kurangnya 7 hari sebelum Mesyuarat Agung
Tahunan diadakan, satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat
berserta dengan penyata kewangan bagi tahun sebelumnya yang telah diaudit.
Salinan surat ini juga boleh diperoleh untuk makluman ahli-ahli.
16.4 Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2)
daripada jumlah ahli berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah Ahli
Jawatankuasa, mengikut mana-mana yang kurang, hendaklah hadir semasa Mesyuarat
Agung Tahunan untuk mencukupkan korum dan mengesahkan perjalanan mesyuarat.
16.5 Jika korum tidak cukup selepas setengah
jam dari masa yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu
hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 7 hari) yang
ditetapkan oleh Jawatankuasa Kerja (tertakluk kepada Fasal 12.1). Jika
sekiranya korum masih tidak cukup selepas setengah jam daripada masa yang
ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka ahli-ahli boleh
menjalankan mesyuarat tetapi tidak mempunyai kuasa membuat sebarang keputusan
yang melibatkan semua ahli.
16.6 Suatu Mesyuarat Agung Khas hendaklah
diadakan :
16.6.1 Atas arahan Pengarah Pelajaran Selangor, atau
16.6.2 Apabila Jawatankuasa memikirkannya mustahak :
atau
16.6.3 Atas permintaan bertulis tidak kurang satu
pertiga (1/3) daripada ahli dengan menyatakan tujuan dan sebab untuk mengadakan
mesyuarat itu
16.7 Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli
hendaklah diadakan dalam tempoh 15 hari dari tarikh penerimaan permintaan
mesyuarat tersebut.
16.8 Fasal 16.4 dan 16.5 di dalam Perlembagaan
ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan
untuk Mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi
selepas setengah jam dari masa yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas
atas permintaan ahli-ahli tersebut, maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan dan
dalam tempoh enam (6) bulan daripada tarikh ini Mesyuarat Agung Khas atas
permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidak boleh diadakan.
Fasal 17 : PEMBUBARAN
17.1 Pembubaran MPPKT6 Selangor adalah tertakluk
kepada kuasa-kuasa dan peruntukan Jabatan Pelajaran Selangor dan Kementerian
Pelajaran Malaysia.
17.2 Pembubaran MPPKT6 Daerah juga adalah
tertakluk kepada kuasa-kuasa dan peruntukan Jabatan Pelajaran Selangor dan
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Fasal 18 : PINDAAN PERLEMBAGAAN
18.1 Perlembagaan ini tidak boleh diubah atau
dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung atau Mesyuarat Tergempar MPPKT6
Selangor.
Fasal 19 : TAFSIRAN PERLEMBAGAAN
Jawatankuasa
MPPKT6 Selangor boleh memberikan tafsirannya kepada Perlembagaan ini dan
apabila mustahak boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di
dalam Perlembagaan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan